Setiap Krismas, seorang kawan saya akan menulis surat yang panjang kepada isterinya, mengimbas kembali peristiwa-peristiwa tahun ini dan mengimpikan masa depan. Dia sentiasa memberitahu isterinya betapa dia mencintainya dan sebabnya. Dia juga menulis sepucuk surat kepada setiap anak perempuannya. Kata-kata kasihnya menjadi hadiah Krismas yang tidak dapat dilupakan.
Kita boleh berkata bahawa surat cinta Krismas yang asal adalah Yesus, Firman yang menjadi manusia. Yohanes menegaskan kebenaran ini dalam Injilnya. “Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah” (Yohanes 1:1). Dalam falsafah purba, perkataan Yunani untuk Firman, logos, menyatakan satu fikiran ilahi atau aturan yang menyatukan realiti, tetapi Yohanes mengembangkan definisi itu untuk menyatakan Firman sebagai satu peribadi: Yesus, Anak Tuhan yang “bersama Allah pada permulaan” (ayat 2). Firman ini, iaitu “Anak Tunggal” Bapa, “menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita” (ayat 14). Melalui Yesus, Firman itu, Tuhan menyatakan Diri dengan sempurna.
Ahli-ahli teologi telah bergelut dengan misteri yang indah ini selama berabad-abad. Kita mungkin tidak memahami kebenaran ini sepenuhnya, namun kita boleh pasti bahawa Yesus sebagai Firman telah memberikan cahaya kepada dunia kita yang gelap (ayat 9). Jika kita percaya kepada-Nya, kita dapat mengalami kurnia sebagai anak-anak Tuhan yang dikasihi (ayat 12).
Yesus, surat cinta Tuhan kepada kita, telah datang dan menjadikan kediamannya di kalangan kita. Sekarang itulah hadiah Krismas yang menakjubkan!