“Terdapat sebuah mesej untuk anda!” Seorang wanita yang bekerja di persidangan yang saya hadiri menghulurkan sekeping kertas kepada saya, dan saya tertanya-tanya sama ada saya harus berasa gelisah atau teruja. Tetapi apabila saya membaca, “Anda mempunyai seorang anak saudara lelaki baru!” saya tahu saya boleh bergembira.

Mesej boleh membawa berita baik, berita buruk, atau kata-kata yang mencabar. Dalam Perjanjian Lama, Tuhan menggunakan para nabi-Nya untuk menyampaikan mesej yang mengandungi harapan atau penghakiman. Tetapi apabila kita melihat dengan teliti, kita akan tahu bahawa sesungguhnya perkataan penghakiman-Nya bertujuan untuk membawa pertaubatan, penyembuhan, dan pemulihan.

Kedua-dua jenis mesej muncul dalam Maleakhi 3 apabila Tuhan berjanji untuk menghantar seorang utusan yang akan menyediakan jalan untuk-Nya. Pembaptis Yohanes mengumumkan kedatangan Utusan sebenar, Yesus (lihat Matius 3:11)—”utusan perjanjian” (Maleakhi 3:1) yang akan memenuhi janji-janji Tuhan. Tetapi Dia akan bertindak “bagaikan api pemurni logam dan sabun tukang cuci” (ayat 2), kerana Dia akan menyucikan mereka yang percaya kepada firman-Nya. Tuhan menghantar firman-Nya untuk menyucikan umat-Nya disebabkan oleh keprihatinan-Nya yang penuh kasih untuk kebaikan mereka.

Mesej Tuhan dipenuhi kasih sayang, harapan, dan kebebasan. Dia mengutus Anak-Nya untuk menjadi seorang utusan yang bercakap dalam bahasa kita—kadang-kadang disertakan pembetulan, tetapi sentiasanya mengenai harapan. Kita boleh mempercayai mesej-Nya.