Saya selalu berkeinginan untuk belajar memainkan selo (sejenis alat bunyi-bunyian yang seperti biola, tetapi dengan saiz yang lebih besar). Namun saya tidak pernah berpeluang untuk mendaftarkan diri dalam kelas selo. Atau, mungkin lebih tepat lagi, saya tidak pernah memperuntukkan masa untuk hal itu. Saya pernah berfikir bahawa di syurga nanti saya mungkin boleh menguasai alat muzik tersebut. Sementara itu, saya ingin memfokuskan masa dalam pelayanan yang sudah ditetapkan oleh Tuhan bagi saya sekarang.

Hidup ini sangat singkat, dan kebanyakan masa yang kita lalui di bumi selalu memberikan tekanan sahaja sebelum ia berlalu pergi. Tetapi apakah erti hidup ini sebenarnya?

Ketika Raja Salomo merenungkan erti kehidupan, dia memberikan dua cadangan. Pertama, kita harus hidup dengan cara yang paling bermakna, termasuklah menikmati sepenuhnya perkara baik yang diizinkan oleh Tuhan dalam kehidupan kita, contohnya makanan dan minuman (Pengkhutbah 9:7), pakaian dan wangian (ayat 8), perkahwinan (ayat 9), dan kesemua pemberian baik daripada Tuhan—mungkin juga termasuklah belajar untuk memainkan selo!

Perkara kedua yang dicadangkannya ialah tentang bekerja keras (ayat 10). Kehidupan adalah penuh dengan peluang, dan sentiasa ada banyak kerja yang harus diselesaikan. Kita harus mengambil peluang yang diberikan oleh Tuhan kepada kita, memohon hikmah daripada-Nya tentang cara untuk menyeimbangkan antara kerja dan masa lapang kita, menggunakan kurnia kita untuk melayani-Nya.

Kehidupan merupakan kurnia yang indah daripada Tuhan. Kita memuliakan Dia apabila kita menikmati berkat-Nya setiap hari dan melibatkan diri dalam pelayanan yang bermakna.