Anak buah lelaki saya tahu dia tidak seharusnya melakukan hal itu. Saya dapat melihat dengan jelas bahawa dia sudah menyedari bahawa dia sudah berbuat salah: semuanya tertulis di wajahnya! Ketika saya duduk bersama dengan dia untuk membincangkan kesalahannya, dia terus menutup matanya dengan rapat. Dia duduk di situ sambil berfikir—dengan logik seorang budak yang berumur tiga tahun—jika dia tidak dapat melihat saya, maka saya mesti tidak dapat melihat dia. Jika saya tidak melihat dia, maka dia boleh mengelakkan perbualan (dan akibatnya) yang dijangkakannya.
Mujurnya saya dapat melihatnya pada masa itu. Oleh sebab saya tidak dapat membiarkan tindakannya yang salah itu begitu sahaja, kami perlu membincangkannya, namun saya benar-benar tidak mahu sesuatu yang tidak menyenangkan berlaku di antara kami. Saya mahu agar dia melihat muka saya dan mengetahui bahawa saya sangat mengasihinya, serta ingin sekali memaafkannya! Pada saat itu, saya teringat tentang perasaan Tuhan ketika Adam dan Hawa menghancurkan kepercayaan-Nya di Taman Eden. Setelah menyedari kesalahan mereka, mereka berusaha untuk menyembunyikan diri daripada Tuhan (Kejadian 3:10), yang boleh “melihat” mereka dengan jelas sebagaimana saya dapat melihat anak buah lelaki saya.
Apabila kita menyedari bahawa kita telah melakukan sesuatu kesalahan, kita biasanya berusaha untuk mengelakkan diri daripada akibat perbuatan kita. Kita mahu melarikan diri, menyembunyikannya, atau menutup mata kita daripada kebenaran. Sementara Tuhan mengkehendaki kita bertanggungjawab terhadap perbuatan kita berdasarkan piawai kebenaran-Nya, Dia masih melihat kita (malah mencari kita!) kerana Dia mengasihi kita dan menawarkan pengampunan melalui Yesus Kristus.