Tani dan Modupe membesar di Nigeria dan pergi belajar di United Kingdom pada tahun 1970-an. Setelah mereka sendiri mengalami perubahan disebabkan oleh rahmat Tuhan, mereka tidak pernah terfikir bahawa mereka akan dipakai untuk mengubah salah satu komuniti yang serba kekurangan dan terpencil di England—Anfield di Liverpool. Ketika Dr. Tani dan Dr. Modupe Omideyi bergantung pada Tuhan dan melayani komuniti mereka dengan setia, Tuhan pun memulihkan harapan bagi ramai orang. Mereka memimpin sebuah gereja yang bersemangat dan terus menjalankan banyak projek komuniti yang telah membawa perubahan kepada ramai orang.

Pada mulanya, Manasye mengubah komunitinya kepada kejahatan dan kemudiannya kepada kebaikan. Ketika dia dimahkotakan sebagai raja Yehuda pada umur dua belas tahun, dia memimpin umatnya kepada kesesatan dan melakukan banyak kejahatan untuk banyak tahun (2 Tawarikh 33:1–9). Mereka tidak menghiraukan amaran Tuhan, justeru itu Dia mengizinkan Manasye ditawan ke Babel dan dipenjarakan (ayat 10–11).

Semasa penderitaannya, raja itu berseru kepada Tuhan sambil merendah diri, lalu Tuhan mendengar dan memulihkan kerajaannya (ayat 12-13). Raja yang telah mengalami perubahan itu membina semula tembok kota dan memusnahkan dewa-dewa bangsa lain (ayat 14-15). “Raja Manasye membaiki mazbah tempat beribadat kepada TUHAN, lalu … memerintah semua penduduk Yehuda supaya beribadat kepada TUHAN, Allah Israel” (ayat 16). Ketika umatnya melihat perubahan yang berlaku ke atas Manasye secara menyeluruh, maka mereka juga turut berubah (ayat 17).

Ketika kita mencari Tuhan, semoga Dia mengubah kita dan mengubah komuniti melalui kita.