Kaisar Agustus diperingati sebagai pemerintah Roma yang pertama dan paling agung. Dengan kemahirannya dalam dunia politik serta kuasa ketenteraan, dia menghapuskan musuh, memperluas empayar, dan mengangkat Roma daripada sebuah kawasan kejiranan yang terbiar kepada sebuah kota yang penuh dengan arca-arca dan rumah ibadat yang diperbuat daripada marmar. Orang Roma menyanjungi dan menganggap Augustus sebagai bapa ilahi dan penyelamat bangsa manusia. Ketika pemerintahannya selama 40 tahun menjelang pengakhiran, kata-kata rasminya yang terakhir adalah, “Saya menemukan Roma sebagai sebuah bandar tanah liat, tetapi menjadikannya sebagai sebuah bandar marmar.” Bagaimanapun, menurut isterinya, kata-kata terakhirnya sebenarnya adalah, “Adakah saya memainkan peranan saya dengan baik? Berikan tepukan tangan ketika saya melangkah keluar.”
Apa yang tidak diketahui Augustus adalah bahawa dia telah pun memberikan sumbangan dalam sebuah kisah yang lebih besar. Pada masa pemerintahannya, anak kepada seorang tukang kayu telah dilahirkan untuk menyingkapkan sesuatu yang jauh lebih besar daripada mana-mana kejayaan tentera Roma, kemewahan rumah ibadat, stadium, mahupun istananya (Lukas 2:1).
Tetapi siapakah yang dapat memahami kemuliaan yang didoakan Yesus pada malam orang sebangsa-Nya meminta supaya Dia disalibkan oleh pegawai Roma? (Yohanes 17:4-5). Siapakah yang boleh meramalkan keajaiban di sebalik pengorbanan yang selama-lamanya diraikan di syurga dan di bumi?
Ini adalah sebuah kisah yang mengagumkan. Tuhan mengetahui bahawa kita mengejar segala impian yang sia-sia dan menentang antara satu sama lain. Oleh itu, Dia meninggalkan penyelamatan dan mengingatkan kita menyanyikan bersama-sama tentang salib yang kasar di atas bukit.