“Apakah perkara yang anda tidak boleh lepaskannya?” tanya juruhebah radio. Ramai pendengar membuat panggilan dan memberikan jawapan yang menarik. Ada beberapa pemanggil menyebut ahli keluarga, termasuk seorang suami yang berkongsi kenangan tentang isterinya yang sudah meninggal dunia. Yang lain pula berkata bahawa mereka tidak boleh melepaskan impian mereka, seperti ingin berkecimpung dalam bidang muzik atau menjadi seorang ibu. Semua orang memiliki sesuatu yang amat kita hargai—seseorang, impian, benda—sesuatu yang kita tidak dapat lepaskan.
Dalam buku Hosea, Tuhan memberitahu kita bahawa Dia tidak berputus asa terhadap umat pilihan-Nya, iaitu orang Israel, hak milik yang dihargai-Nya. Sebagai suami Israel yang pengasih, Tuhan menyediakan apa sahaja yang diperlukannya: tanah, makanan, minuman, pakaian, dan keselamatan. Akan tetapi seperti pasangan yang melakukan perzinaan, Israel menolak Tuhan serta mencari kebahagiaan dan keselamatan di tempat lain. Semakin Tuhan mendekati dia, semakin dia melarikan diri (Hosea 11:2). Meskipun dia telah melukai hati Tuhan dengan amat dalam, Tuhan tidak pernah berputus asa terhadapnya (ayat 8). Tuhan akan mendisiplinkan Israel demi menebusnya kembali; keinginan-Nya adalah membina semula hubungan-Nya dengan Israel (ayat 11).
Pada hari ini, semua anak Tuhan boleh memiliki keyakinan yang sama: Dia mengasihi kita sehingga Dia tidak pernah melepaskan kita (Roma 8:37-39). Jika kita telah menjauhi-Nya, Dia amat menginginkan kita kembali. Apabila Tuhan mendisiplinkan kita, kita boleh merasakan kedamaian kerana ini merupakan tanda bahawa Tuhan mencari kita, bukannya tanda penolakan-Nya. Kita adalah harta kepunyaan-Nya; Dia tidak akan membiarkan kita.