Di Yad Vashem, muzium Holokus di Israel, saya dan suami saya pergi ke taman Orang Baik daripada Pelbagai Bangsa (Righteous Among the Nations garden). Tempat itu merupakan sebuah tempat untuk memperingati pahlawan lelaki dan perempuan yang rela mengambil risiko bagi menyelamatkan orang Yahudi semasa tercetusnya pembunuhan bangsa beramai-ramai. Ketika berjalan-jalan di taman memorial itu, kami telah bertemu dengan sekumpulan orang dari negara Belanda. Seorang wanita berkunjung ke situ untuk melihat nama datuk dan neneknya yang tersenarai pada plak besar. Disebabkan oleh perasaan ingin tahu, kami pun bertanya kepada wanita tersebut tentang kisah keluarganya.

Kedua-dua datuk dan neneknya ialah Reverend Pieter dan Adriana Müller, yang merupakan penentang rejim bagi satu gerakan bawah tanah. Mereka telah menyelamatkan seorang budak lelaki Yahudi yang berumur dua tahun dan menyamar dia sebagai anak bongsu antara lapan orang anak mereka dari tahun 1943-1945.

Kami berasa tersentuh oleh ceritanya dan bertanya, “Adakah budak kecil itu masih hidup?” Seorang lelaki tua dalam kumpulan itu melangkah ke hadapan dan berkata, “Sayalah budak lelaki itu!”

Keberanian ramai orang untuk melindungi pihak orang Yahudi mengingatkan saya tentang Ratu Ester. Ratu itu berfikir bahawa mungkin dia boleh terlepas daripada perintah Raja Ahasyweros yang menghapuskan orang Yahudi pada sekitar tahun 350 SM kerana dia telah menyembunyikan etniknya. Bagaimanapun, dia mendapat keyakinan untuk mengambil tindakan—meskipun menghadapi risiko dibunuh—apabila sepupunya merayu kepadanya supaya tidak berdiam diri mengenai identitinya sebagai warisan orang Yahudi kerana dia sudah ditempatkan dalam kedudukan ini “untuk saat-saat seperti inilah” (Ester 4:14).

Kita mungkin tidak perlu membuat keputusan yang dramatik seperti itu. Bagaimanapun, kita mungkin sahaja berhadapan dengan pilihan untuk bercakap demi menentang ketidakadilan ataupun berdiam diri sahaja; untuk memberikan pertolongan kepada seseorang yang berada dalam kesusahan, ataupun membiarkannya begitu sahaja. Semoga Tuhan memberikan kita keberanian.