Suatu hari pada musim sejuk, anak-anak saya meminta untuk pergi bermain kereta luncur salji. Suhu sudah turun ke -18 darjah Celsius. Melalui tingkap, emping salji kelihatan turun dengan lebat. Selepas membuat pertimbangan, saya mengatakan “ya”, tetapi menyuruh mereka untuk berpakaian cukup supaya dapat menahan kesejukan, bermain bersama-sama dan masuk semula ke dalam rumah selepas 15 minit.

Disebabkan oleh kasih, saya membuat peraturan itu supaya anak-anak saya boleh bermain dengan bebas tanpa menderita luka beku. Saya berfikir bahawa penulis Mazmur 119 menyedari tentang niat baik yang sama dalam Tuhan ketika dia menulis dua ayat berturutan yang nampaknya saling bercanggahan: “Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu” dan “aku akan hidup dengan bebas, kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu” (ayat 44-45). Bagaimanakah pemazmur boleh mengaitkan kebebasan dengan kehidupan rohani yang mematuhi hukum?

Dengan mengikut perintah Tuhan yang penuh hikmah, kita akan menghindari akibat-akibat yang datang daripada pilihan yang kita tidak inginkan pada kemudian hari. Tanpa beban kesalahan atau kesakitan, kita adalah lebih bebas untuk menikmati hidup. Tuhan tidak menghendaki untuk mengawal kita dengan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan; sebaliknya, garis panduan-Nya menunjukkan bahawa Dia mengasihi kita.

Ketika anak-anak saya sedang bermain kereta luncur salji, saya memerhatikan mereka meluncur dari cerun bukit. Saya tersenyum mendengar bunyi ketawa mereka serta melihat pipi mereka yang kemerah-merahan. Mereka adalah bebas dalam batasan yang telah saya tetapkan. Ini memperlihatkan paradoks dalam hubungan kita dengan Tuhan—yang memimpin kita berkata bersama-sama dengan pemazmur, “Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, kerana perintah-Mu menggembirakan aku” (ayat 35).