Semasa liputan televisyen untuk upacara pelantikan presiden Amerika Syarikat yang berbangsa Afrika yang pertama, kamera memaparkan pemandangan panoramik untuk kumpulan orang ramai yang mencecah dua juta orang, yang berkumpul untuk menyaksikan acara yang bersejarah ini. Bob Schieffer yang merupakan wartawan CBS News berkata, “Bintang bagi upacara ini merupakan syot sudut luas, iaitu kamera yang dapat menangkap seluruh keadaan di situ.” Tiada peralatan lain yang dapat menangkap gambaran perhimpunan orang ramai yang terbentang dari Memorial Lincoln sehingga ke Capitol.

Firman Tuhan memberikan kita sekilas pandang tentang kumpulan yang lebih besar jumlahnya, yang disatukan melalui iman mereka dalam Yesus Kristus: “Tetapi kamu bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci … untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa. Allah sudah memanggil kamu keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang” (1 Petrus 2:9).

Ini bukanlah gambaran sebilangan kecil orang yang mempunyai hak istimewa, tetapi merujuk kepada orang ramai yang sudah ditebus “daripada semua suku, bahasa, negara, dan bangsa” (Wahyu 5:9). Pada masa kini kita terserak ke seluruh dunia, yang ramai orang berasa dikucilkan dan menderita disebabkan oleh kesetiaan mereka kepada Yesus. Akan tetapi melalui kanta firman Tuhan, kita melihat penggambaran sudut luas tentang saudara dan saudari kita dalam iman yang berdiri bersama untuk memuliakan Tuhan yang telah menebus kita dan menjadikan kita milik-Nya.

Marilah kita bersama-sama mempersembahkan pujian kepada Dia yang telah membawa kita keluar daripada kegelapan dan masuk ke dalam terang!