Seorang lelaki memerlukan pertolongan berkenaan sewa rumahnya untuk bulan Disember. Bagi ahli keluarganya yang lain, permintaan ini membebankan—terutama perbelanjaan hujung tahun mereka yang tidak terjangka. Namun mereka bersyukur atas pemberian Tuhan dan sanggup mengeluarkan simpanan yang ada, untuk membantunya. Maka, lelaki ini amat berterima kasih kepada ahli keluarganya.

Dia memberikan mereka sekeping kad ucapan terima kasih yang penuh dengan kata-kata kesyukuran. “Anda telah menghulurkan bantuan besar kepada saya walaupun anda mungkin beranggapan bahawa perkara ini bukan hal yang besar.”

Bagaimanapun, bagi Tuhan, menolong orang lain merupakan perkara yang besar. Nabi Yesaya mengajukan hal itu kepada bangsa Israel. Umat itu berpuasa tetapi masih bertengkar dan bergaduh. Sebaliknya, kata Yesaya: “Tanggalkan belenggu penindasan dan beban ketidakadilan … Bahagilah makanan kamu dengan orang yang lapar, dan sambutlah orang miskin yang tiada tempat berteduh, ke dalam rumah kamu. Berikanlah pakaian kepada mereka yang tidak mempunyai pakaian, dan jangan tolak sanak saudara kamu sendiri yang memerlukan pertolongan” (Yesaya 58:6-7).

Yesaya mengatakan bahawa pengorbanan sedemikian merupakan tindakan yang berkongsi terang Tuhan dan menyembuhkan luka-luka kita sendiri (ayat 8). Ketika ahli keluarga membantu lelaki itu, mereka sendiri harus berjimat cermat, belajar menguruskan hal kewangan mereka, malah belajar merancang semula kewangan mereka sepanjang tahun. Namun Tuhan berjanji kepada orang yang murah hati: “Aku akan sentiasa menyertai kamu untuk menyelamatkan kamu. Hadirat-Ku akan melindungi kamu di setiap sudut” (ayat 8). Akhirnya, dengan memberi kepada kaum kerabat sendiri akan mendatangkan lebih banyak berkat kepada mereka. Bagaimanakah pula dengan Tuhan? Dia sudah memberikan segala-gala-Nya kepada kita—dengan kasih.