Ketika sebuah kelas di universiti mengadakan satu perjalanan sambil belajar, pengajar bagi perjalanan ini hampir tidak mengenal salah seorang muridnya yang terkenal. Biasanya ketika di dalam kelas, dia akan memakai seluar panjang untuk menyembunyikan kasut tumitnya yang setinggi 15 cm. Tetapi dalam perjalanan ini, dia mengenakan kasut butnya, ternyata ketinggian badannya adalah kurang daripada 150 cm. “Saya ingin menjadi seorang yang tinggi ketika memakai kasut tumit,” katanya sambil ketawa. “Tetapi dengan memakai kasut but, itulah ketinggian saya yang sebenar.”

Penampilan fizikal kita tidak memperlihatkan siapa diri kita; hati kita adalah yang terpenting. Yesus mengeluarkan kata-kata yang keras kepada mereka yang pakar dalam penampilan—pengamal agama yang hebat, iaitu “orang Farisi dan guru Taurat.” Mereka mempersoalkan Yesus tentang para pengikut-Nya yang tidak membasuh tangan sebelum makan, seperti yang diperintahkan oleh tradisi agama mereka (Matius 15:1-2). Yesus pun bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu tidak menurut perintah Allah, tetapi menurut ajaran kamu sendiri?” (ayat 3). Kemudian Dia mendedahkan bahawa mereka mencari jalan keluar dalam undang-undang untuk menyimpan kekayaan mereka, dan bukannya menjaga ibu bapa mereka (ayat 4-6). Tindakan mereka secara jelas tidak menghormati ibu bapa mereka serta melanggar hukum Tuhan yang kelima (Keluaran 20:12).

Jika kita terlalu menjaga penampilan sementara dan mencari jalan keluar dalam perintah Tuhan yang jelas, ini bererti kita sedang melanggar inti dalam hukum Tuhan. Yesus berkata bahawa, “Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul,” dan lain-lain (Matius 15:19). Hanya Tuhan, melalui kebenaran Anak-Nya Yesus, boleh memberikan kita hati yang bersih.