Pelakon Diane Kruger telah ditawarkan satu watak yang akan menjadikannya terkenal. Akan tetapi watak tersebut menuntut dia berlakon sebagai seorang isteri yang masih muda, serta seorang ibu yang mengalami kehilangan suami dan anaknya. Dia sendiri tidak pernah mengalami kehilangan sampai ke tahap sedemikian. Dia tidak pasti sama ada dia boleh melakonkan watak tersebut. Walau bagaimanapun, dia menerima tawaran tersebut. Untuk mempersiapkan dirinya, dia mula menghadiri pertemuan sokongan untuk orang yang melalui lembah kesedihan yang amat dalam.
Pada mulanya dia memberikan cadangan dan pendapat apabila ahli-ahli kumpulan itu berkongsi cerita mereka. Dia, seperti kebanyakan kita, ingin membantu. Namun secara beransur-ansur dia berhenti bercakap, dan mula menjadi pendengar. Hanya pada saat itu dia mula belajar menempatkan dirinya dalam situasi orang lain. Kesedarannya timbul melalui menjadi pendengar yang aktif.
Tuduhan Yeremia terhadap umat Tuhan pada ketika itu adalah bahawa mereka enggan menggunakan “telinga” mereka untuk mendengar suara Tuhan. Nabi dengan terus-terang memanggil mereka “orang bodoh dan tolol” (Yeremia 5:21). Tuhan sentiasa bekerja dalam kehidupan kita untuk menyampaikan kata-kata yang mengandungi kasih, perintah, galakan, dan amaran. Kehendak Bapa syurgawi adalah anda dan saya belajar serta menjadi matang. Setiap kita telah diberikan alat, seperti telinga, untuk melakukan kehendak-Nya. Persoalannya, adakah kita akan menggunakan pemberian itu untuk mendengar hati Bapa kita?