Semasa saya beratur untuk menaiki pesawat, seseorang menepuk bahu saya. Saya menoleh ke arah orang itu dan dia menyapa saya dengan mesra. “Elisa! Adakah anda masih ingat saya? Saya Joan!” Fikiran saya mengimbas beberapa “Joan “yang saya kenal, tetapi saya tidak dapat mengingatnya. Adakah dia jiran lama saya? Rakan sekerja dahulu? Alamak … Saya benar-benar tidak tahu.
Ketika dia melihat kebingungan saya yang berusaha untuk cuba mengingatinya, Joan berkata, “Elisa, kita saling mengenal semasa di sekolah menengah.” Suatu memori timbul dalam fikiran saya: permainan bola sepak pada malam Jumaat, bersorak dari tempat duduk penonton. Apabila ingatan tentang konteks itu menjadi jelas, barulah saya dapat mengenal kembali siapa itu Joan.
Selepas kematian Yesus, Maria Magdalena pergi ke kubur-Nya pada waktu pagi serta mendapati bahawa batu penutup telah dialihkan, dan jenazah-Nya tiada di dalam kubur (Yohanes 20:1-2). Dia berlari untuk memberitahu kepada Petrus dan Yohanes, yang kemudiannya kembali bersama dengan dia ke kubur kosong itu (ayat 3-10). Namun Maria berasa sedih dan berada di luar (ayat 11). Apabila Yesus muncul di hadapannya, “Maria tidak tahu bahawa Dia Yesus” (ayat 14), dan “menyangka Dia itu tukang kebun” (ayat 15).
Bagaimanakah mungkin dia tidak dapat mengenal Yesus? Adakah tubuh-Nya yang telah bangkit itu berubah sehingga sukar untuk dikenali? Adakah kesedihan telah membutakannya untuk mengenali identiti Yesus? Atau, mungkin, seperti saya, adakah itu disebabkan Yesus berada “di luar konteks,” iaitu hidup kembali di perkuburan, bukan lagi dikuburkan, sehingga dia tidak mengenal-Nya?
Yesus datang ke dalam kehidupan kita setiap hari semasa kita berdoa, membaca Alkitab, mahupun berbisik dalam hati kita. Pernahkah kita terlepas pandang kepada-Nya?