Saya berasa terdorong setiap kali saya melawat pusat senaman yang berhampiran dengan rumah kami. Di tempat yang sibuk itu, saya dikelilingi dengan orang yang berusaha untuk meningkatkan kesihatan dan kekuatan fizikal mereka. Tanda-tanda tulisan yang dilekatkan di situ memberi peringatan kepada kami agar tidak menghakimi antara satu sama lain, melainkan kata-kata dan tindakan yang menunjukkan sokongan kepada orang lain sentiasa dialu-alukan.

Ini suatu gambaran yang indah tentang hal-hal yang kita harus amalkan dalam kehidupan alam rohani! Bagi kita yang berusaha untuk memiliki “bentuk yang sihat” secara rohani, untuk bertumbuh dalam iman, kadang-kadang kita berasa tidak layak kerana kita tidak cukup sihat secara rohani, iaitu cukup matang dalam perjalanan kita bersama Yesus seperti orang lain.

Paulus memberikan saranan yang ringkas ini: “Hendaklah kamu saling menggalakkan dan saling menguatkan” (1 Tesalonika 5:11). Dia juga menulis kepada orang percaya di Roma: “Setiap orang daripada kita harus menyenangkan hati saudaranya bagi kebaikannya, supaya imannya menjadi semakin teguh” (Roma 15:2). Dengan menyedari bahawa Bapa kita sangat mengasihi kita, marilah kita menunjukkan belas kasihan Tuhan kepada orang lain dengan kata-kata dan tindakan yang memberi galakan.

Apabila kita menerima “satu sama lain” (ayat 7), marilah kita mempercayakan pertumbuhan rohani kita kepada Tuhan, yang dikerjakan oleh Roh-Nya. Sementara kita berusaha untuk mengikut Dia setiap hari, semoga kita dapat mewujudkan suasana yang saling memberi galakan kepada saudara-saudara kita dalam Yesus kerana mereka juga berusaha untuk bertumbuh dalam iman mereka.