“Estera, kamu ada sebuah hadiah daripada rakan kita Helen!” kata ibu saya ketika dia pulang dari tempat kerja. Kami membesar dengan kehidupan yang serba kekurangan. Justeru itu, apabila menerima kiriman hadiah, ia seumpama Krismas yang kedua bagi kami. Saya berasa dikasihi, diingati, dan dihargai oleh Tuhan melalui wanita yang baik hati ini.

Tabita (Dorkas), seorang janda miskin yang menjahit pakaian, pasti merasakan hal yang sama. Dia merupakan salah seorang murid Yesus yang tinggal di Yope, yang terkenal di kalangan masyarakat kerana perbuatan baiknya. Dia “menggunakan masanya untuk melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin” (Kisah Rasul-Rasul 9:36). Kemudian dia jatuh sakit dan meninggal dunia. Pada masa itu, Petrus sedang melawat bandar yang berdekatan dengan tempat tersebut, maka dua orang percaya datang kepadanya dan merayu agar dia pergi ke Yope.

Apabila Petrus tiba, para janda yang pernah dibantu oleh Tabita menunjukkan bukti perbuatan baiknya kepada Petrus – “[Inilah] pakaian dan jubah yang telah dijahit oleh Dorkas bagi mereka” (ayat 39). Kita tidak pasti jika mereka meminta Petrus melakukan sesuatu, tetapi dengan pimpinan Roh Kudus, Petrus berdoa dan Tuhan menghidupkan Tabita semula! Kerana kebaikan Tuhan, maka “berita itu tersebar ke seluruh Yope, dan banyak orang percaya kepada Tuhan” (ayat 42).

Ketika kita melakukan perkara baik kepada orang di sekeliling kita, semoga mereka berpaling kepada Tuhan dan tahu mereka dihargai oleh-Nya.