Ketika isteri rakan saya David mula menghidapi penyakit Alzheimer, perubahan ini telah membawa akibat pahit dalam kehidupannya. Dia perlu bersara awal untuk menjaga isterinya disebabkan oleh keadaan isterinya menjadi semakin merosot dan memerlukan lebih banyak perhatian.

“Saya sangat marah terhadap Tuhan,” katanya. “Tetapi semakin saya berdoa untuk hal ini, semakin banyak yang Dia mendedahkan keadaan hati saya. Ternyata selama ini saya lebih banyak mementingkan diri dalam perkahwinan kami.” Dia mengakui hal ini sambil berlinang-linang air matanya, “Isteri saya telah jatuh sakit selama sepuluh tahun, tetapi Tuhan telah membantu saya melihat perkara yang berbeza. Sekarang, semua yang saya lakukan adalah demi cinta saya terhadapnya, saya juga melakukannya untuk Yesus. Penjagaan isteri saya telah menjadi keistimewaan besar dalam kehidupan saya.”

Kadangkala Tuhan menjawab doa kita bukan dengan memberi apa yang kita inginkan tetapi dengan mencabar kita untuk berubah. Apabila nabi Yunus marah kerana Tuhan menyelamatkan kota Niniwe yang jahat daripada kemusnahan, Tuhan menumbuhkan sejenis tumbuhan yang memberi naungan kepadanya daripada terik matahari (Yunus 4:6). Kemudian Tuhan menyebabkan tumbuhan itu layu. Ketika Yunus mengeluh, Tuhan menjawab, “Engkau tidak patut marah kerana tanaman itu!” (ayat 7-9). Yunus yang hanya menumpukan dirinya menegaskan bahawa dia sepatutnya berasa marah. Namun Tuhan mencabar dia untuk memikirkan orang lain dan berbelas kasihan.

Kadang-kadang Tuhan menggunakan doa kita dengan cara yang tidak dijangka untuk menolong kita belajar dan bertumbuh. Ia adalah perubahan yang kita boleh terima dengan hati yang terbuka kerana Dia ingin mengubah kita dengan kasih-Nya.