Seperti kebanyakan kanak-kanak yang berusia empat tahun, Ruby suka berlari, menyanyi, menari dan bermain. Kemudian dia mula mengadu tentang kesakitan pada lututnya. Ibu bapa Ruby pun membawa dia untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan agak mengejutkan—diagnosis penyakit kanser, neuroblastoma tahap 4. Ruby berada dalam keadaan kritikal. Dia dengan segera dimasukkan ke hospital.

Rawatan Ruby di hospital berlanjutan untuk masa yang panjang sehingga musim Krismas, waktu yang amat menyusahkan hati orang jika tidak dapat pulang rumah. Salah seorang jururawat Ruby pun mendapatkan idea untuk meletakkan sebuah peti mel di luar biliknya supaya ahli-ahli keluarganya boleh menghantar surat-surat doa dan dorongan kepadanya. Kemudian permintaan tersebut dikirimkan melalui Facebook. Selepas itu, jumlah surat yang dikirimkan oleh rakan-rakan serta orang yang tidak dikenali telah mengejutkan semua orang, terutamanya Ruby. Setiap surat yang diterima (berjumlah lebih daripada 100,000 pucuk surat), telah banyak memberi galakan kepada Ruby. Akhirnya, dia boleh pulang ke rumah.

Demikian juga dengan surat Paulus kepada jemaah di Kolose yang penuh dorongan (Kolose 1:2). Kata-kata yang ditulisnya pada satu halaman mengandungi harapan, agar orang percaya akan terus menghasilkan perbuatan baik, mengenal Tuhan, mendapatkan kekuatan dalam Tuhan, bertahan dalam penderitaan, dan sabar (ayat 10-11). Bolehkah anda bayangkan kata-kata seperti itu seumpama dos ubat yang baik sekali kepada orang yang setia di Kolose? Dengan hanya mengetahui bahawa seseorang sedang berdoa tanpa henti untuk mereka, maka iman mereka tetap kuat dan teguh dalam Kristus Yesus.

Kata-kata galakan kita dapat membawa bantuan yang besar kepada orang lain yang memerlukannya.