Selepas menonton Viola, gadis kecil yang berusia sepuluh tahun menggunakan ranting kayu sebagai mikrofon untuk mengajuk seorang pengkhutbah, Michele memutuskan untuk memberi Viola peluang untuk “berkhutbah” semasa mengadakan program penginjilan di sebuah kampung. Viola menerima peluang ini. Michele, seorang mubaligh dari Sudan Selatan menulis, “Orang ramai berasa terpesona … Seorang gadis kecil yang telah ditinggalkan berdiri di hadapan mereka sebagai seorang puteri Raja segala raja, dengan penuh kuasa berkongsi tentang realiti Pemerintahan Tuhan. Separuh daripada orang ramai itu maju ke hadapan untuk menerima Yesus” (Michele Perry, Love Has a Face).
Pada hari itu, orang ramai tidak menjangka untuk mendengar seorang kanak-kanak berkhutbah. Peristiwa ini mengingatkan kita tentang frasa “dari mulut bayi-bayi dan anak-anak,” yang terdapat dalam Mazmur 8. Daud menulis, “Dari mulut bayi-bayi dan anak-anak yang menyusu telah Kauletakkan dasar kekuatan karena lawan-Mu” (ayat 3, Alkitab TB). Yesus kemudian memetik ayat ini dalam Matius 21:16, selepas para ketua imam dan guru Taurat mengkritik kanak-kanak yang melaungkan pujian kepada Yesus di Rumah Tuhan, Yerusalem. Kanak-kanak dianggap pengganggu oleh para pemimpin agama. Dengan memetik ayat Alkitab ini, Yesus menunjukkan bahawa Tuhan mengambil pujian kanak-kanak ini dengan serius. Mereka melakukan apa yang tidak sanggup dilakukan oleh para pemimpin: memberi kemuliaan yang sepatutnya kepada Mesias.
Sebagaimana yang ditunjukkan oleh Viola dan kanak-kanak di Rumah Tuhan, Tuhan boleh memakai seorang kanak-kanak untuk membawa kemuliaan kepada-Nya. Daripada kerelaan hati mereka, berlimpah-limpahlah dengan pujian.