Artikel dalam akhbar tempatan itu pendek tetapi mengharukan. Selepas menghadiri program asas iman untuk membina ikatan kekeluargaan yang lebih kukuh, sekumpulan banduan di penjara telah diberi layanan yang jarang sekali berlaku: lawatan terbuka diadakan agar mereka dapat bersama-sama dengan keluarga. Ada yang tidak pernah melihat anak-anak mereka selama bertahun-tahun. Daripada berbual-bual melalui panel kaca semasa lawatan biasa, kini mereka boleh menyentuh dan memeluk orang tersayang sewaktu pertemuan terbuka ini. Air mata berlinang-linang ketika hubungan antara keluarga-keluarga itu menjadi semakin erat dan luka-luka akibat peristiwa pahit yang berlaku mula sembuh.
Bagi kebanyakan pembaca, ini hanyalah sebuah cerita. Namun bagi keluarga-keluarga ini, sokongan yang diberikan kepada satu sama lain merupakan peristiwa yang mengubah kehidupan mereka—dan bagi sesetengah orang, proses pengampunan dan perdamaian telah bermula.
Pengampunan Tuhan terhadap dosa kita dan tawaran perdamaian-Nya, yang dimungkinkan melalui Anak-Nya, adalah lebih daripada sekadar satu fakta dalam kepercayaan Kristian. Berita artikel tentang perdamaian itu mengingatkan kita bahawa pengorbanan Yesus ialah berita baik yang bukan hanya untuk dunia ini, melainkan untuk anda dan saya.
Pada masa-masa ketika kita mengalami rasa bersalah kerana sesuatu yang telah kita lakukan, kita dapat berpegang teguh pada berita itu. Hal itu berlaku apabila kenyataan tentang belas kasihan Tuhan menjadi berita kita sendiri: oleh sebab Yesus mati bagi kita, maka kita boleh datang kepada Bapa dalam keadaan yang sudah dibersihkan, “lebih putih daripada salji” (Mazmur 51:9). Pada saat-saat seperti itu, ketika kita tahu kita tidak layak untuk menerima rahmat-Nya, kita boleh berpegang teguh pada satu perkara yang kita boleh sandarkan: kasih dan belas kasihan Tuhan yang sungguh besar (ayat 3).