Di ambang mencipta kecemerlangan yang akan memecahkan rekod 25 tahun sebuah sekolah, bintang bagi pasukan bola keranjang Universiti Iowa, Amerika Syarikat, Jordan Bohannon dengan sengaja tidak menjaringkan lontaran bebas. Apakah sebabnya? Pada tahun 1993, beberapa hari selepas Chris Street, seorang pemain bola keranjang bagi pasukan Iowa melontarkan 34 lontaran bebas secara berterusan, dia meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Oleh itu Bohannon memilih untuk menghormati peringatan akan mendiang Street dengan tidak memecahkan rekodnya.

Bohannon menunjukkan kesedaran bahawa sesetengah perkara adalah lebih penting daripada pencapaian diri sendiri. Kita melihat nilai-nilai yang serupa dalam hidup Daud, seorang wira muda. Semasa bersembunyi di dalam sebuah gua bersama-sama tenteranya, Daud ingin sekali minum air dari perigi di kampung halamannya Betlehem, tetapi orang Filistin telah menduduki kawasan itu (2 Samuel 23:14-15).

Dengan keberanian yang luar biasa, tiga orang askar Daud “menembusi pertahanan orang Filistin,” menimba air dari perigi itu dan membawanya kepada Daud. Tetapi Raja Daud tidak sanggup meminum air itu, malahan “baginda mencurahkan air itu sebagai persembahan kepada TUHAN,” titahnya, “Jika aku meminumnya, seolah-olah aku minum darah tiga orang yang mempertaruhkan nyawa mereka!” (ayat 16-17).

Di dunia yang sering memberi ganjaran kepada orang yang merebut apa sahaja yang boleh dicapai, betapa hebatnya tindakan yang disertakan kasih dan pengorbanan! Tindakan sedemikian bukan sekadar simbol.