Apabila kebanyakan pemimpin gereja Jerman menyerah diri kepada Hitler, Martin Niemöller selaku seorang ahli teologi dan pastor merupakan salah seorang yang berani untuk menentang kejahatan rejim Nazi. Saya terbaca sebuah kisah yang menghuraikan pada tahun 1970-an, sekumpulan orang Jerman yang lebih tua berdiri di luar sebuah hotel yang besar manakala seorang yang kelihatan lebih muda sedang sibuk dengan beg-beg kumpulan itu. Seseorang bertanya siapa kumpulan orang yang lebih tua itu. “Pastor-pastor dari Jerman,” jawab seseorang. “Dan siapa pula yang lebih muda itu?” “Itulah Martin Niemöller—dia berumur 80 tahun. Tetapi dia kekal muda kerana dia penuh keberanian.”
Niemöller bukan seorang yang dapat melawan ketakutan kerana dia memiliki gen “anti-ketakutan” yang luar biasa, tetapi dia menjadi berani dengan rahmat Tuhan. Pada hakikatnya, dahulunya dia pernah mempunyai pandangan anti-Yahudi. Tetapi dia telah bertaubat dan Tuhan telah memulihkan dia dan menolong dia bercakap dan hidup dalam kebenaran.
Musa mendorong orang Israel melawan ketakutan dan mengikut Tuhan dalam kebenaran. Apabila mereka menjadi takut selepas mengetahui bahawa Musa akan diambil daripada mereka tidak lama lagi, Musa memberikan kata-kata dorongan yang menguatkan mereka: “Kamu harus yakin dan berani. Jangan takut akan bangsa-bangsa itu. TUHAN, Allah kamu akan menyertai kamu” (Ulangan 31:6). Mereka tidak perlu berasa gentar untuk masa depan yang tidak ketahui kerana: Tuhan menyertai mereka.
Apa jua kegelapan yang menimpa anda, apa jua ketakutan yang menerpa anda—Tuhan menyertai anda. Dengan kasih Tuhan, semoga anda dapat menghadapi ketakutan dengan mengetahui bahawa Tuhan “tidak sekali-kali akan mengecewakan kamu ataupun meninggalkan kamu” (ayat 6, 8).