Kim mula memerangi penyakit kanser payudara pada tahun 2013. Empat hari setelah rawatannya selesai, para doktor telah mendiagnosis bahawa dia menghidap penyakit paru-paru progresif dan hanya tinggal 3 hingga 5 tahun untuk hidup. Pada tahun pertama, dia meluahkan kedukaan dalam tangisan di hadapan Tuhan melalui doa. Ketika saya berjumpa dengan Kim pada tahun 2015, dia telah menyerahkan keadaannya kepada Tuhan dan memancarkan kegembiraan dan ketenangan pada wajahnya. Walaupun sesetengah waktu masih sukar, Tuhan terus mengubah kesengsaraannya yang menyedihkan menjadi satu kesaksian yang indah, disertakan pujian yang penuh dengan harapan ketika dia mendorong orang lain.

Sungguhpun kita berada dalam keadaan yang amat teruk, Tuhan dapat mengubah kedukaan kita menjadi tarian. Walaupun penyembuhan-Nya tidak selalu kelihatan atau dirasakan seperti yang kita harapkan atau jangkakan, kita boleh yakin pada karya Tuhan (Mazmur 30:2-4). Tidak kira betapa teruknya perjalanan hidup kita, kita mempunyai banyak sebab untuk memuji Dia (ayat 5). Kita boleh bergembira dalam Tuhan, kerana Dia meneguhkan iman kita (ayat 6-8). Kita boleh berseru untuk memohon belas kasihan-Nya (ayat 9-11), meraikan harapan yang telah dibawakan-Nya kepada ramai orang yang memuji-Nya dalam kedukaan. Hanya Tuhan dapat mengubah kedukaan kepada tarian gembira yang tidak bergantung pada keadaan (ayat 12-13).

Sewaktu Tuhan kita yang berbelas kasihan menghibur kita pada waktu kesedihan, Dia melingkupi kita dengan ketenangan dan memberi kuasa kepada kita untuk menghulurkan belas kasihan kepada orang lain dan kita sendiri. Tuhan kita yang pengasih dan setia dapat dan boleh mengubah kedukaan kita kepada penyembahan yang memimpin kita percaya, memuji, mahupun menari dalam kegembiraan.