Nenek saya merupakan seorang tukang jahit yang berbakat dan pernah memenangi pertandingan-pertandingan menjahit di tempat asalnya, Texas, Amerika Syarikat. Sepanjang hidup saya, dia meraikan beberapa peristiwa penting dengan hadiah yang dijahitnya sendiri. Dia mengait sehelai baju sejuk berwarna merah tua untuk hari penamatan pengajian sekolah menengah saya. Dia juga menjahitkan saya sehelai selimut berwarna hijau muda untuk perkahwinan saya. Saya memerhatikan di hujung sudut setiap pakaian yang dijahitnya sendiri dan mendapati jahitan tanda tangannya yang berbunyi, “Buatan tangan untukmu daripada Nenek.” Dengan setiap perkataan yang disulamnya, saya dapat merasakan kasih nenek kepada saya dan saya pun menerima satu penyataan yang berkuasa daripada keyakinannya terhadap masa hadapan saya.

Paulus menulis surat kepada jemaah di Efesus tentang tujuan hidup mereka di dunia ini. Dia menjelaskan mereka sebagai “ciptaan Allah … hidup bersatu dengan Kristus Yesus … untuk mengamalkan perbuatan baik” (2:10). Di sini “ciptaan” menandakan sesuatu karya seni atau karya agung. Paulus seterusnya menjelaskan bahawa karya tangan Tuhan yang menciptakan kita akan menghasilkan perbuatan baik yang kita lakukan—atau pernyataan hubungan kita yang telah dipulihkan dengan Yesus—demi kemuliaan Tuhan di dunia kita. Kita tidak akan diselamatkan dengan perbuatan baik kita sendiri, tetapi apabila tangan Tuhan mencipta kita untuk tujuan-Nya, Dia dapat memakai kita untuk membawa orang lain mengenal dan menerima kasih-Nya yang besar.

Dengan setiap jahitannya, nenek menghasilkan karya tangannya yang menyampaikan kasih kepada saya, dan saya menemukan tujuan hidup saya di dunia ini. Tuhan menyulam kasih dan tujuan-Nya dalam hati kita supaya kita boleh mengalami hubungan dengan-Nya dan menunjukkan hasil karya-Nya kepada orang lain.