Pada 30 Januari 2018, hampir 38 tahun selepas dipenjarakan, Malcolm Alexander mendapatkan kebebasannya semula. Bukti DNA membersihkan nama Alexander, yang telah bermati-matian mengekalkan ketakbersalahannya di tengah-tengah banyak perbicaraan mahkamah yang tidak adil. Disebabkan oleh seorang peguam bela yang tidak cekap (kemudiannya dipecat), bukti yang tidak kukuh, dan taktik penyiasatan yang meragukan, akibatnya seorang lelaki yang tidak bersalah dipenjarakan hampir selama empat dekad. Walau bagaimanapun, apabila dia akhirnya dibebaskan, dia menunjukkan rahmat yang amat besar. “Saya tidak boleh marah,” katanya. “Buang masa sahaja kalau marah.”

Kata-kata Alexander membuktikan suatu rahmat yang mendalam. Jika ketidakadilan merenggut hidup kita selama 38 tahun dan memusnahkan nama baik kita, memang patut kita marah, dan meradang. Namun, walaupun Alexander telah lama berada dalam keadaan yang menyayat hati dengan menanggung kesalahan yang ditimpakan padanya, dia tidak ditewaskan oleh kejahatan. Dia tidak mengambil kesempatan untuk membalas dendam, sebaliknya dia memperlihatkan arahan Petrus: “Janganlah balas kejahatan dengan kejahatan, atau cercaan dengan cercaan” (1 Petrus 3:9).

Firman Tuhan menyatakan dengan lebih lanjut: “Sebaliknya balaslah kejahatan dengan berkat daripada Allah” (ayat 9). Kita memberikan pengampunan, harapan kesejahteraan untuk orang yang telah mempersalahkan kita secara tidak adil. Hal ini bukan mencari alasan untuk tindakan jahat mereka, kita sebaliknya boleh memperlakukan mereka dengan belas kasihan Tuhan. Pada kayu salib, Yesus menanggung kesalahan-kesalahan kita, sehingga kita dapat menerima rahmat dan menghulurkan rahmat itu kepada orang lain—termasuk juga orang yang telah berbuat salah terhadap kita.