Greg dan Elizabeth sering mengadakan aktiviti “Malam Jenaka” dengan empat orang anak mereka yang masih bersekolah. Setiap anak akan mempersembahkan beberapa jenaka yang telah dibaca atau didengar mereka (atau direka-reka sendiri!) pada minggu itu untuk diceritakan di meja makan. Kebiasaan ini mencipta detik menyeronokkan yang penuh dengan sukacita. Greg dan Elizabeth juga menyedari bahawa gelak ketawa adalah baik untuk kesihatan anak-anak mereka, serta mengangkat semangat mereka pada masa kesukaran.
Kebaikan perbualan yang penuh sukacita di meja makan turut menjadi perhatian C. S. Lewis. Dia menulis, “Matahari memandang ke bawah dan tidak melihat apa-apa yang baik selain sebuah keluarga yang makan bersama disertakan gelak ketawa.”
Hikmah yang memelihara hati yang penuh sukacita dapat ditemukan dalam Amsal 17:22, “Hati yang gembira menyihatkan badan; hati yang sedih melemahkan semangat.” Amsal ini menawarkan sebuah “preskripsi” untuk meningkatkan kesihatan dan kesembuhan—membenarkan sukacita mengisi hati kita, ubat yang mengenakan kos kecil tetapi mendatangkan kesan yang sangat baik.
Setiap kita memerlukan preskripsi yang berdasarkan Alkitab ini. Ketika kita membawa sukacita ke dalam percakapan kita, ia boleh mengubah percanggahan pendapat kepada sudut pandangan yang berbeza. Ia boleh menolong kita mengalami ketenangan, walaupun selepas melalui ujian yang tertekan di sekolah ataupun menghadapi masalah semasa bekerja. Gelak ketawa yang tercipta dalam keluarga dan persahabatan boleh mencipta sebuah tempat yang selamat, yang kita boleh menyedari dan merasakan bahawa kita dikasihi.
Adakah anda memerlukan lebih lagi gelak ketawa sebagai ubat yang baik untuk roh anda? Ingat, anda memiliki dorongan daripada Alkitab untuk mula mewujudkan hati yang girang.