Selepas kematian suaminya, Betsy menghabiskan kebanyakan hari di apartmennya, menonton televisyen dan menikmati minuman teh. Dia tidak berasa sunyi walaupun dia keseorangan. Lebih daripada sembilan juta orang Britain (15 peratus daripada populasi) mengatakan mereka sering berasa kesunyian, dan Great Britain telah melantik seseorang sebagai menteri kesunyian untuk mengkaji sebab dan cara untuk menolong orang yang menghadapi kesunyian.

Beberapa penyebabnya telah ditemukan: Kita selalu melakukan sesuatu yang menimbulkan akar masalah. Kita mempercayai bahawa kita boleh menjaga diri sendiri, dan kita tidak memerlukan sahabat. Kita diasingkan oleh teknologi—setiap kita tertarik oleh skrin telefon.

Saya kadangkala berasa kesunyian, dan mungkin anda juga pernah mengalaminya. Inilah sebabnya kita memerlukan teman-teman seiman. Kitab Ibrani merumuskan perbincangannya yang mendalam tentang pengorbanan Yesus, dengan memberikan kita galakan untuk selalu bersekutu dengan orang lain (Ibrani 10:25). Kita ialah keluarga milik Tuhan, justeru itu kita haruslah mengasihi “sebagai saudara-saudara Kristian” dan “janganlah segan menyambut orang yang belum kamu kenal” (13:1-2). Jika setiap kita berusaha, maka semua orang pasti berasa dipedulikan.

Orang yang kesunyian mungkin tidak akan membalas kebaikan kita, tetapi ini bukanlah alasan untuk mengalah. Yesus telah berjanji untuk tidak membiarkan atau meninggalkan kita (13:5), dan kita boleh menggunakan persahabatan-Nya untuk menggerakkan kasih kita kepada orang lain. Adakah anda kesunyian? Apakah cara yang anda boleh temukan untuk melayani keluarga Tuhan? Teman-teman yang anda temukan dalam Yesus akan bertahan selamanya.