Perasaan cemas saya kian bertambah terhadap program mahasiswa dan siswazah saya sepanjang musim panas itu. Saya suka merancang semuanya terlebih dahulu, dan idea untuk pergi ke luar negara serta memasuki sekolah siswazah tanpa pekerjaan telah membuatkan saya risau. Bagaimanapun, beberapa hari sebelum saya menamatkan pekerjaan musim panas, saya telah ditawarkan untuk bekerja bagi syarikat itu di kawasan terpencil. Saya menerimanya dan memiliki kedamaian bahawa Tuhan pasti akan menjaga saya.

Tuhan menyediakan menurut waktu-Nya sendiri, bukan waktu saya. Abraham melalui situasi yang jauh lebih sukar dengan anak lelakinya, Ishak. Dia diminta untuk membawa anaknya dan mengorbankannya di sebuah bukit (Kejadian 22:1-2). Tanpa ragu-ragu, Abraham mentaati Tuhan dan membawa Ishak ke sana. Perjalanan selama tiga hari itu telah memberikan masa yang cukup bagi Abraham untuk menukar buah fikirannya, tetapi dia tidak berbuat demikian (ayat 3-4).

Ketika Ishak bertanya kepada ayahnya, Abraham menjawab, “Allah sendiri akan menyediakan anak domba itu” (ayat 8). Saya tertanya-tanya jika Abraham berasa cemas ketika dia mula mengikat Ishak serta membaringkannya di mazbah setiap kali dia mengangkat pisaunya (ayat 9-10). Betapa leganya ketika malaikat menghentikannya! (ayat 11-12). Tuhan sesungguhnya mempersiapkan korban, iaitu “seekor domba jantan yang tanduknya tersangkut pada belukar” (ayat 13). Tuhan menguji iman Abraham, dan dia terbukti beriman. Pada waktu yang tepat, pada detik yang paling tepat, Tuhan memang mengurniakan pemberian.