Setelah saya berumur sembilan belas tahun, dan beberapa tahun sebelum saya memiliki sebuah alat kelui (pager) atau telefon bimbit, saya telah berpindah sejauh lebih daripada 1100 kilometer dari tempat kediaman ibu saya. Pada suatu pagi, saya keluar rumah lebih awal untuk membuat urusan harian, sehingga terlupa untuk menelefon ibu saya seperti biasa. Kemudian pada waktu malam, dua orang polis datang ke rumah saya. Ibu saya menjadi risau kerana kami tidak pernah terlepas untuk saling berhubung. Setelah ibu saya mencuba berulang kali untuk menelefon dan mendapati talian dalam keadaan tidak baik, dia pun menghubungi pihak berkuasa dan meminta mereka mencari saya. Seorang daripada polis itu berkata kepada saya, “Betapa bahagianya anda kerana ibu anda sangat mengasihi anda dan tidak berhenti untuk mencari kamu.”

Apabila saya menelefon ibu saya, saya menyedari bahawa saya tidak meletakkan gagang telefon dengan baik secara tidak sengaja. Selepas saya meminta maaf, dia menyampaikan berita baik itu kepada keluarga dan rakan-rakan yang sebelumnya dikhabarkan bahawa saya telah hilang. Ketika meletakkan gagang telefon, saya sedar diri saya sangat dikasihi walaupun berfikir bahawa reaksinya agak keterlaluan.

Alkitab melukiskan keindahan Tuhan, iaitu Kasih, tanpa henti melambai-lambaikan tangan-Nya kepada anak-anak-Nya yang sesat. Seperti seorang gembala yang baik, Dia mempedulikan dan mencari setiap domba yang sesat, menghargai nilai setiap anak Tuhan yang tidak terharganya (Lukas 15:1-7).

Kasih tidak pernah berhenti mencari kita. Dia akan mengejar kita sehingga kita kembali kepada-Nya. Kita boleh berdoa untuk orang lain yang perlu tahu tentang Kasih itu—Tuhan—tidak pernah berhenti mencari mereka.