“Ah, setiap jeti batu memiliki keinginan yang kuat!” bunyi sebaris puisi daripada Fernando Pessoa yang bertajuk “Ode Marítima” dalam bahasa Portugis. Jeti Pessoa menggambarkan emosi yang kita rasakan sewaktu sebuah kapal bergerak secara perlahan dan menjauhi kita. Kapal itu pergi tetapi jeti tetap berada di situ, menjadi seperti sebuah monumen kekal yang mengandungi harapan dan impian, perpisahan dan keinginan. Kita berasa sakit hati ketika mengalami kehilangan, dan apa yang kita tidak dapat jangkau.

Perkataan Portugis saudade yang diterjemahkan sebagai “keinginan” merujuk kepada sesuatu keinginan pada masa lampau yang kita rasakan—sesuatu kesakitan mendalam yang tidak terkatakan. Pemuisi sedang menghuraikan sesuatu yang tidak dapat dihuraikan.

Kita mungkin mengatakan bahawa Gunung Nebo adalah “Keinginan yang kuat” bagi Musa. Dari Nebo dia memperhatikan tanah perjanjian—sebuah tanah yang dia tidak akan dapat masuki. Kata Tuhan kepadanya—“Aku membenarkan engkau memandangnya tetapi Aku tidak membenarkan engkau pergi ke sana” (Ulangan 34:4)—kedengarannya keras. Tetapi jika hanya itu yang kita lihat, kita tidak memahami tujuannya. Tuhan memperkatakan penghiburan yang amat besar kepada Musa: “Itulah tanah yang Aku janjikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub, untuk diberikan kepada keturunan mereka” (ayat 4). Tidak lama selepas itu, Musa meninggalkan Nebo untuk pergi ka tanah yang lebih baik daripada Kanaan (ayat 5).

Dalam hidup ini, kita selalu berdiri di jeti. Orang yang kita sayangi akan pergi; harapan menjadi pudar; impian akan berakhir. Di tengah-tengah semuanya itu, kita mendengar gema taman Eden dan melihat bayangan syurga. Keinginan kita mengarahkan kita kepada Tuhan. Hanya Dia yang dapat memenuhi segala hasrat kita.