Hanya dalam masa enam bulan, kehidupan Gerald telah runtuh. Krisis ekonomi memusnahkan perniagaan serta kekayaannya, sementara sebuah kemalangan yang tragik telah meragut nyawa anak lelakinya. Disebabkan oleh kejutan besar itu, ibunya diserang penyakit jantung dan meninggal, isterinya pula menderita kemurungan, dan dua orang anak perempuannya masih tidak dapat ditenangkan. Dia hanya dapat mengulangi kata-kata pemazmur ini, “Allahku, ya Allahku, mengapakah Engkau meninggalkan aku?” (Mazmur 22:2).
Hanya satu hal yang terus menguatkan Gerald, iaitu harapan bahawa Tuhan yang telah menghidupkan semula Yesus, suatu hari nanti akan menghiburkannya dan keluarganya daripada kesakitan dan memberikan mereka kehidupan kekal yang penuh sukacita. Harapannya adalah Tuhan akan menjawab tangisannya yang penuh kesakitan ketika meminta pertolongan. Dalam keputusasaannya, seperti pemazmur Daud, dia memutuskan untuk percaya kepada Tuhan di tengah-tengah penderitaannya itu. Dia terus berpegang kepada harapan bahawa Tuhan akan menghiburkan dan menyelamatkannya (ayat 5-6).
Harapan itu menguatkan Gerald. Selama beberapa tahun kemudian, apabila dia ditanya tentang keadaannya, dia hanya dapat berkata, “Saya percaya kepada Tuhan.”
Tuhan melihat imannya, dan memberikan Gerald ketenangan, kekuatan, dan dorongan untuk terus menjalani hidup pada tahun-tahun berikutnya. Keluarganya secara perlahan-lahan dipulihkan, akhirnya Gerald menyambut kelahiran cucu pertamanya. Kini tangisannya bertukar menjadi kesaksian kepada kesetiaan Tuhan. “Saya tidak lagi bertanya, ‘Mengapakah Engkau meninggalkan aku?’ Tuhan telah memberkati aku.”
Ketika situasi kelihatan hanya dipenuhi keputusasaan, harapan masih wujud.