Menara gereja yang senget membuatkan orang berasa gementar. Ketika kami melawat beberapa orang rakan, mereka berkongsi tentang menara gereja mereka menjadi senget selepas berlakunya tiupan angin ribut yang kuat. Hal itu menyebabkan orang selalu berwaspada.
Sudah pasti gereja itu akan memperbaiki menara yang semakin goyah itu, tetapi saya terbayangkan sesuatu yang lucu. Biasanya gereja dianggap sebagai sebuah tempat yang sempurna; ia tidak boleh dilihat sebagai sebuah tempat yang memperlihatkan keadaan yang senget, bukan?
Namun di dunia yang sudah jatuh dan rosak ini, keadaan kita “sudah menjadi senget”, dan setiap kita memiliki kelemahan yang semula jadi. Kita mungkin digoda untuk terus-menerus menyembunyikan kelemahan kita, tetapi Alkitab mengatakan sebaliknya. Dalam 2 Korintus 12, Paulus berkata bahawa kelemahannya adalah “sejenis penyakit yang sangat menyakitkan” (ayat 7)—Kristus dapat menunjukkan kuasa-Nya. Yesus berkata kepadanya, “kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah” (ayat 9). Jadi Paulus menyimpulkan, “Aku bersukacita ketika mengalami kelemahan, hinaan, kesukaran, penganiayaan, dan kesusahan, kerana Kristus. Aku bersukacita, kerana ketika aku lemah, pada masa itulah aku mendapat kekuatan daripada Kristus” (ayat 10).
Kita mungkin tidak suka akan ketidaksempurnaan kita, tetapi dengan menyembunyikannya, kita hanya akan menyangkal kuasa Yesus untuk bekerja dalam hidup kita. Ketika kita menjemput Yesus masuk ke bahagian yang senget dalam diri kita, dengan lembut Dia akan memperbaiki dan menebusnya dengan cara-Nya sendiri—kita tidak dapat melakukannya dengan usaha kita sendiri.