Manusia bukanlah makhluk yang istimewa—menurut Zoo London. Pada tahun 2015, zoo itu memperkenalkan pameran yang berlangsung selama empat hari: “Manusia di Tempat Tinggal Semula Jadi Mereka.” “Tawanan” manusia dipilih melalui peraduan dalam talian. Untuk menolong para pelawat memahami tentang manusia, para pekerja zoo membuat tanda yang menerangkan diet, habitat, dan ancamannya. Menurut jurucakap zoo, matlamat pameran adalah untuk tidak mengheboh-hebohkan keunikan manusia. Seorang peserta dalam pameran itu nampaknya bersetuju. “Apabila mereka melihat manusia sebagai binatang di sini, ia mengingatkan mereka bahawa kita tidak begitu istimewa.”
Alangkah berbezanya hal itu dengan apa yang dikatakan oleh Alkitab tentang manusia: Tuhan menciptakan kita “dengan baik dan luar biasa” dan “menyerupai” Tuhan (Mazmur 139:14; Kejadian 1:26-27).
Daud memulakan Mazmur 139 dengan merayakan pengetahuan Tuhan akan dirinya secara intim (ayat 1-6) dan hadirat-Nya pada setiap masa (ayat 7-12). Seperti tukang tenun, Tuhan bukan sahaja membentuk bahagian luar dan dalam tubuh Daud (ayat 13-14), tetapi Dia juga menjadikannya jiwa hidup, memberikan hidup rohani dan kemampuan untuk berhubungan intim dengan Tuhan. Melalui renungan ke atas hasil kerja tangan Tuhan, Daud memberi respons dalam ketakjuban, kekaguman dan penuh pujian (ayat 14).
Manusia adalah istimewa. Tuhan menciptakan kita dengan keunikan dan kemampuan yang hebat untuk memiliki hubungan intim dengan Tuhan. Seperti Daud, kita boleh memuji-Nya kerana kita adalah hasil ciptaan tangan-Nya yang penuh kasih.