John dan Mary sedang bersiar-siar dengan anjing mereka di sekeliling rumah mereka apabila mereka terpijak sebuah tin berkarat yang sebahagiannya tertimbul semasa hujan baru-baru ini. Mereka membawa tin itu balik ke rumah dan membukanya. Mereka menemukan satu simpanan syiling emas yang melebihi satu abad lamanya! Pasangan itu kembali ke tempat itu dan menjumpai tujuh lagi tin yang mengandungi 1,427 keping syiling kesemuanya. Kemudian mereka melindungi harta tersembunyi mereka dengan menanamkannya di tempat lain.
Simpanan syiling itu (bernilai $10 juta dolar) yang dinamakan Saddle Ridge Hoard, merupakan penemuan syiling yang terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat. Kisah itu mengingatkan kita tentang satu perumpamaan yang diceritakan oleh Yesus: “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seseorang menjumpai harta yang terpendam di tanah, lalu dia memendamnya semula. Kemudian dengan penuh sukacita dia pergi menjual segala miliknya, lalu kembali dan membeli tanah itu” (Matius 13:44).
Kisah-kisah harta yang tersembunyi telah merangsangkan bayangan orang ramai selama berabad-abad, walaupun penemuan sebegitu jarang berlaku. Tetapi Yesus menceritakan suatu harta yang boleh diperolehi oleh semua orang yang mengakui dosa mereka, menerima dan mengikut-Nya (Yohanes 1:12).
Harta itu tidak akan kehabisan. Apabila kita meninggalkan kehidupan lama kita dan mengejar Tuhan dan tujuan-Nya, kita menemukan nilai-Nya. Melalui “rahmat-Nya yang tidak terhingga itu, Dia menunjukkan kasih-Nya kepada kita melalui Kristus Yesus” (Efesus 2:7). Tuhan memberikan kita harta yang melampaui imaginasi—kehidupan baru sebagai anak-anak lelaki dan perempuan-Nya, tujuan baru di bumi, dan sukacita yang tidak dapat difahami kerana boleh kekal bersama dengan Dia.