Gurun Mojave merangkumi bukit-bukit pasir, kanyon-kanyon kering, dataran tinggi lelasan, dan gunung-gunung seperti kebanyakan padang pasir. Tetapi ahli biologi Amerika Edmund Jaeger memerhati bahawa dalam setiap beberapa tahun, hujan yang berlimpah-limpah akan mengakibatkan “satu kemekaran yang begitu banyak sehingga hampir setiap bahagian pasir atau tanah kerikil dilitupi bunga-bunga.” Namun, pertunjukan bunga liar di Mojave ini bukan satu fenomena tahunan. Para penyelidik mengesahkan bahawa tanah kering tersebut memerlukan air hujan yang banyak dan cahaya matahari yang mencukupi, hanya pada masa yang tepat, dengan ini bunga-bunga mekar akan melitupi padang pasir dengan warna-warna yang cerah.

Walaupun tanah kering, gambaran bahawa Tuhan yang membawakan kehidupan mengingatkan saya tentang nabi Yesaya. Dia berkongsi suatu penglihatan tentang harapan selepas menyampaikan penghakiman Tuhan kepada semua bangsa (Yesaya 35). Ketika menggambarkan suatu masa nanti bahawa Tuhan akan membetulkan segalanya, nabi itu berkata, “Padang gurun akan bersukacita, dan bunga akan kembang di padang belantara” (ayat 1). Dia mengisytiharkan orang yang diselamatkan oleh Tuhan akan memasuki Pemerintahan-Nya” dengan sukacita, sambil bernyanyi dan bersorak-sorak. Mereka akan bahagia selama-lamanya, dan bebas daripada duka nestapa” (ayat 10).

Dengan masa depan kita yang abadi dijamin oleh janji-janji Tuhan, kita boleh mempercayai-Nya pada saat kita melalui musim-musim kemarau dan ribut. Dengan berakar dalam kasih-Nya, kita boleh bertumbuh, berkembang dan menyerupai-Nya sehingga Yesus kembali dan membetulkan segalanya pada masa yang tepat.