Sebuah nahas kereta menggoncangkan kehidupan Mary Ann Franco. Walaupun dia terselamat, kecederaan itu menyebabkan dia buta sepenuhnya. “Apa yang saya dapat lihat ialah kegelapan,” jelas Franco. 21 tahun kemudian, dia mengalami kecederaan belakangnya ketika terjatuh. Selepas dia sedar daripada pembedahan (yang tidak ada kena-mengena dengan matanya), penglihatannya telah dipulihkan secara ajaib! Untuk pertama kalinya dalam lebih daripada dua dekad, Franco melihat wajah anak perempuannya. Pakar bedah menegaskan bahawa tiada penjelasan saintifik bagi pemulihan penglihatannya itu. Kegelapan yang seolah-olah tidak dapat diubah telah bertukar kepada keindahan dan terang.
Ayat-ayat Alkitab dan pengalaman kita memberitahu kita bahawa kejahilan dan kejahatan menyelubungi dunia, sehingga membutakan kita semua terhadap kasih Tuhan (Yesaya 25:7). Sikap mementingkan diri dan ketamakan, bergantung pada usaha sendiri, hawa nafsu kita terhadap kuasa atau rupa luaran—semua keinginan ini mengaburkan penglihatan kita, membuatkan kita tidak dapat melihat Tuhan yang “telah melakukan hal-hal yang mengagumkan” dengan jelas (ayat 1).
Satu terjemahan menyatakan suasana ini sebagai “kain perkabungan” (Alkitab TB). Jika dibiarkan kita bersendirian, kita hanya mengalami kegelapan, kekeliruan, dan putus harapan. Kita sering berasa terperangkap—mencari-cari dan tersandung, tidak dapat melihat jalan di hadapan. Syukurlah, Yesaya menjanjikan bahawa Tuhan akan “menghapuskan suasana sedih yang menyelubungi semua bangsa” (ayat 7).
Tuhan tidak akan membiarkan kita tanpa harapan. Kasih-Nya yang megah itu menghapuskan apa sahaja yang membutakan kita, mengejutkan kita dengan satu penglihatan yang indah tentang satu kehidupan yang baik dan rahmat yang melimpah-limpah.