“Kurus kering, kurus kering,” ejek seorang anak lelaki. “Batang kayu,” kata seorang yang lain. Sebagai balasannya, saya boleh mengatakan “batang kayu dan batu mungkin mematahkan tulang saya, tetapi kata-kata tidak akan menyakiti saya.” Tetapi, meskipun sebagai seorang gadis kecil, saya tahu bahawa itu tidak benar. Kata-kata yang kejam dan tidak bertimbang rasa boleh melukakan—kadangkala dengan teruk, meninggalkan luka-luka yang lebih mendalam dan berlarut lebih lama daripada bilur yang dikenakan oleh batu atau batang kayu.
Hana pasti tahu sengatan kata-kata yang tidak bertimbang rasa. Suaminya, Elkana mencintainya, tetapi dia tidak mempunyai anak, sementara isteri keduanya, Penina, mempunyai banyak anak. Budaya pada zaman itu sering menilai seorang wanita berdasarkan keupayaan untuk melahirkan anak. Keadaan Hana menjadi lebih teruk kerana dia “disakiti hati dan dihina oleh Penina” secara berterusan kerana kemandulannya. Penina meneruskannya “sehingga Hana menangis dan tidak mahu makan apa-apa” (1 Samuel 1:6-7).
Elkana mungkin berniat baik, tetapi tindak balasnya yang tidak bertimbang rasa, “Hana, mengapa menangis? … Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?” (ayat 8) masih melukakan.
Seperti Hana, ramai antara kita pernah dilukai akibat kata-kata orang lain. Sesetengah daripada kita mungkin bertindak balas terhadap luka kita sendiri dengan mencaci dan melukakan orang lain dengan kata-kata kita. Tetapi kita semua boleh berlari kepada Tuhan kita yang penuh kasih dan belas kasihan untuk mendapatkan kekuatan dan penyembuhan-Nya (Mazmur 27:5,12-14). Dia gembira dan bersukacita kerana kita menyatakan kata-kata yang penuh kasih dan rahmat.