Anak-anak saya berasa teruja, tetapi saya berasa resah. Semasa bercuti, kami melawat sebuah akuarium yang orang ramai boleh menyentuh ikan-ikan jerung kecil yang dipelihara di dalam sebuah tangki khas. Apabila saya bertanya kepada pekerja sama ada makhluk-makhluk itu pernah mengigit jari pelawat, dia menjelaskan bahawa ikan-ikan jerung itu baru sahaja diberikan makanan dan kemudian akan diberikan makanan tambahan. Maka ikan-ikan ini tidak akan menggigit kerana tidak lapar.
Apa yang saya pelajari tentang menyentuh ikan jerung memang masuk akal jika menurut amsal: “Kalau kenyang, madu pun ditolak; kalau lapar, yang pahit pun terasa enak” (Amsal 27:7). Kelaparan—rasa kekosongan dalaman itu—boleh melemahkan pertimbangan kita ketika kita membuat keputusan. Perasaan lapar meyakinkan kita bahawa tidak mengapa untuk menerima apa-apa sahaja asalkan boleh mengisi perut kita, walaupun ini bermaksud kita harus ”menggigit” seseorang.
Tuhan menginginkan kita menjalani kehidupan yang bukan sekadar mengisi kelaparan dalam kehidupan kita. Dia menginginkan kita dipenuhi dengan kasih Kristus supaya segala yang kita lakukan mengalir daripada damai sejahtera dan kestabilan yang diberikan-Nya. Kebenaran yang selalu mengingatkan kita bahawa kita dikasihi tanpa syarat memberi kita keyakinan. Ia membolehkan kita membuat pilihan yang betul apabila kita mempertimbangkan perkara-perkara yang “manis” dalam kehidupan—pencapaian, harta milik, dan hubungan.
Kita akan mengalami kepuasan yang benar hanya melalui membina hubungan dengan Yesus. Semoga kita memahami kasih-Nya yang luar biasa supaya kita boleh “mengenal kasih Kristus, sehingga kamu memperolehi sifat Allah” (Efesus 3:19) demi kebaikan kita—dan demi kebaikan orang lain.