Saya membuka Alkitab Kanak-Kanak bergambar yang menarik dan mula membacakannya kepada cucu lelaki saya. Kami segera terpesona dengan perkembangan jalan cerita tentang pemberian dan kasih Tuhan. Saya meletakkan penanda di halaman yang sedang kami baca untuk melihat judul buku sekali lagi: Cerita Alkitab tentang Yesus: Setiap Cerita Membisikkan Nama-Nya.

Setiap cerita membisikkan nama-Nya.

Secara jujur, kadangkala Alkitab terutamanya Perjanjian Lama adalah susah untuk dimengerti. Mengapakah golongan yang tidak mengenal Tuhan seolah-olah mengalahkan umat Tuhan? Mengapakah Tuhan mengizinkan hal jahat berlaku sedangkan kita mengetahui bahawa Tuhan itu baik dan tujuan-Nya adalah untuk kebaikan kita?

Selepas kebangkitan-Nya, Yesus bertemu dengan dua pengikut-Nya yang berada dalam perjalanan ke Emaus. Mereka tidak mengenal Yesus dan bersedih atas kematian orang yang diharapkan mereka sebagai Mesias (Penyelamat), orang yang sudah lama dinantikan oleh Israel (Lukas 24:19-24). Mereka “berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel” (ayat 21). Lukas merekodkan bagaimana Yesus meyakinkan mereka: “Yesus menerangkan apa yang tertulis tentang diri-Nya di dalam seluruh Alkitab kepada mereka, mulai dari Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi” (ayat 27).

Setiap cerita membisikkan nama-Nya. Ini termasuklah cerita-cerita yang bersifat darurat kerana semua cerita ini menyatakan kehancuran dunia kita dan kita sangat memerlukan seorang Penyelamat. Setiap tindakan, setiap peristiwa, setiap campur tangan mengarahkan perhatian kita kepada penebusan Tuhan yang telah disediakan untuk umat yang sudah tersesat, serta membawa kita kembali kepada-Nya.