Stephen Cass, seorang penyunting bagi majalah Discover, memutuskan untuk memeriksa perkara-perkara yang tidak kelihatan dan merupakan sebahagian daripada kehidupan hariannya. Sewaktu berjalan masuk ke pejabatnya di New York, dia berfikir: “Kalau saya dapat melihat gelombang radio, maka kemuncak Bangunan Empire State (dengan semua antena radio dan TV) akan kelihatan seperti suatu warna yang bernyala-nyala menerangi seluruh bandar.” Dia menyedari dirinya dikelilingi oleh medan elektromagnet daripada radio, isyarat TV, Wi-Fi dan sebagainya yang tidak kelihatan.
Pada suatu pagi, hamba Elisa mempelajari suatu realiti yang tidak kelihatan, iaitu dunia rohani. Dia terjaga daripada tidur dan mendapati bahawa dia dan tuannya dikelilingi oleh tentera Aram. Matanya hanya dapat melihat bala tentera berkuda (2 Raja-Raja 6:15)! Hamba itu berasa amat takut tetapi Elisa tetap yakin sebab dia dapat melihat tentera malaikat yang mengelilingi mereka. Dia berkata: “Yang di pihak kita lebih banyak daripada yang di pihak mereka” (ayat 16). Kemudian dia meminta supaya Tuhan mencelikkan mata hambanya agar dia dapat melihat Tuhan sudah mengepung musuh mereka dan segala keadaan adalah di bawah kawalan-Nya (ayat 17).
Adakah anda berasa dikalahkan dan tidak berdaya? Ingatlah Tuhan mengawal keadaan dan Dia berperang untuk anda. Dia “akan memerintah malaikat-Nya menjaga engkau, untuk melindungi engkau ke mana-mana engkau pergi” (Mazmur 91:11).