Ketika Denise mula berpacaran dengan teman lelakinya, dia berusaha untuk menjaga tubuhnya agar sentiasa kelihatan ramping serta mengenakan pakaian-pakaian yang bergaya, kerana dia berfikir dengan cara itu, dia akan kelihatan lebih menarik di mata kekasihnya. Lagipun, itulah nasihat dalam semua majalah wanita. Selepas satu tempoh masa, barulah dia mengetahui tentang fikiran sebenar teman lelakinya: “Saya suka akan anda sebagaimana sewaktu anda lebih berisi dan tidak mengutamakan pakaian anda.”

Denise pada ketika itu menyedari bahawa “kecantikan” adalah sangat subjektif. Pandangan kita tentang kecantikan sangat mudah dipengaruhi oleh orang lain. Kita banyak memfokuskan perkara luaran dan melupakan nilai kecantikan dalaman. Tetapi Tuhan melihat kita hanya dengan satu cara, iaitu sebagai anak-anak-Nya yang cantik dan dikasihi-Nya. Saya suka berfikir tentang waktu Tuhan menciptakan dunia ini, Dia melengkapkan perkara yang terbaik pada akhir penciptaan-Nya, iaitu kita! Segala yang telah diciptakan-Nya adalah baik, tetapi kita adalah lebih istimewa kerana kita diciptakan menurut rupa Tuhan (Kejadian 1:27).

Tuhan menganggap kita cantik! Tidak hairanlah si pemazmur sangat kagum apabila dia membandingkan kehebatan alam semula jadi dengan manusia. Pemazmur bertanya, “Apakah manusia itu sehingga Engkau ingat akan mereka?” (Mazmur 8:5). Namun Tuhan memilih untuk memahkotai manusia dengan kemuliaan dan kehormatan (Mazmur 8:6).

Kebenaran ini memberikan kita keyakinan dan alasan untuk memuji Dia (ayat 10). Tidak kira apa yang dikatakan oleh orang lain tentang kita, atau apa yang kita fikir tentang diri kita, kita tahu akan kebenaran ini: Kesemua kita adalah cantik di mata Tuhan.