Anak saya Owen yang berumur 6 tahun, sangat gembira apabila menerima sebuah permainan berpapan yang baru. Tetapi setelah setengah jam membaca peraturannya, dia berasa kecewa. Dia tidak dapat memahami peraturan permainan itu. Hanya setelah beberapa waktu, apabila seorang kawan yang sudah tahu permainan tersebut datang, barulah Owen dapat menikmati hadiahnya.
Sewaktu memperhatikan mereka bermain, saya diingatkan bahawa betapa mudahnya untuk mempelajari sesuatu yang baru apabila anda mempunyai seorang guru yang berpengalaman. Apabila kita belajar, sebarang arahan itu memang dapat membantu, namun apabila ada seseorang dapat memberi tunjuk ajar kepada kita, semua itu akan menghasilkan perbezaan yang sangat besar.
Rasul Paulus juga memahami perkara ini. Ketika dia menulis kepada Titus tentang cara untuk membangun jemaahnya dalam iman, Paulus menegaskan nilai-nilai orang percaya yang berpengalaman, yang dapat menjadi teladan iman Kristian. Meskipun bercakap tentang “ajaran sihat” adalah penting, tetapi semua ajaran ini tidak hanya dibicarakan tetapi ia perlu diamalkan dalam kehidupan. Paulus menulis tentang lelaki dan wanita yang lebih tua harus tahu mengawal diri, bersifat baik dan penuh kasih (Titus 2:2-5). Orang percaya harus “menjadi teladan kelakuan yang baik dalam segala perkara” (Titus 2:7), katanya.
Saya bersyukur untuk ajaran yang kukuh, tetapi saya juga bersyukur untuk ramai orang yang telah menjadi teladan ajaran ini yang baik. Mereka telah memperlihatkan cara menjadi pengikut Kristus melalui kehidupan mereka, mempermudah saya untuk menjalani laluan itu.
ILHAM
Titus, salah seorang orang bukan Yahudi yang dipimpin oleh Paulus kepada Yesus (Galatia 2:3, Titus 1:4), "rakan dan rakan sekerja" yang setia bagi Paulus (2 Korintus 8:23). Paulus menghantar Titus sebagai wakil peribadinya untuk menangani masalah di gereja Korintus, hal ini membuktikan sifat dan kematangannya, serta kepemimpinan dan kebolehan penggembalaannya (2 Korintus 7:6-7, 13-14; 8:6, 16-17; 12:18).Di mana sahaja Paulus menubuhkan sebuah gereja, dia melantik pemimpin-pemimpin untuk memeliharanya (Kisah Rasul-Rasul 14:23). Para cendekiawan tidak pasti siapa yang memulakan gereja di Kreta, tetapi apabila Paulus mengetahui bahawa tiada pemimpin dilantik untuk menggembala orang percaya yang muda, dia menghantar Titus untuk mengatur dan mengawasi gereja itu (Titus 1:5). Paulus menulis surat ini untuk membimbing Titus tentang proses penyeliaan, mengarahkannya untuk mengajar orang percaya bagaimana untuk menjalani kehidupan kudus. Dia menekankan kepimpinan yang salih (fasal 1), tingkah laku yang berbelas kasihan dan perbuatan baik dalam keluarga gereja (fasal 2), dan arahan-arahan untuk hidup dalam masyarakat secara umumnya (fasal 3).