Kematian Bobby yang mengejut telah menyedarkan saya tentang realiti kematian dan kesingkatan hidup kita. Kawan perempuan ini yang membesar bersama saya sejak kanak-kanak hanya berumur 24 tahun, apabila dia meninggal dalam kemalangan yang tragis di jalan raya yang berselaput ais. Dia membesar dalam keluarga yang bermasalah, dan baru-baru ini kehidupannya kelihatan bertambah baik. Dia baru mempercayai Yesus. Bagaimana mungkin hidupnya boleh berakhir begitu awal?

Kadangkala kehidupan adalah terlalu singkat dan dipenuhi dengan kesedihan. Dalam Mazmur 39, Raja Daud mengeluh tentang penderitaan yang dialaminya dengan berseru: “Ya TUHAN, beritahulah aku masa kematianku supaya aku tahu betapa singkatnya hidupku. Betapa pendeknya umurku Engkau tentukan! Bagi Engkau, seumur hidupku tidak bererti apa-apa. Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas” (ayat 5-6). Hidup adalah singkat. Walaupun kita mampu hidup selama seratus tahun, hidup kita di dunia hanyalah terdiri daripada sesaat dalam keseluruhan waktu.

Namun kita dapat berkata seperti Daud, “Aku berharap kepada [Tuhan]” (ayat 8). Kita boleh berharap bahawa hidup kita mempunyai makna. Walaupun tubuh kita akan binasa, namun sebagai orang percaya, kita mempunyai keyakinan bahawa “batin kami dibaharui setiap hari”—dan suatu hari kelak kita akan menikmati kehidupan kekal dengan Dia (2 Korintus 4:16–5:1). Kita mengetahui bahawa hal ini kerana Tuhan “mengurniai kita Roh-Nya sebagai jaminan bagi segala sesuatu yang disediakan-Nya untuk kita” (2 Korintus 5:5).