Hampir setiap pagi musim panas, satu drama yang menyeronokkan dapat dilihat di taman belakang rumah kami. Ini melibatkan perenjis air dan seekor anjing bulldog. Pada sekitar jam 6.30 pagi, perenjis air akan terpasang. Tidak lama kemudian, seekor anjing bulldog, Fifi (nama panggilan yang kami berikan) akan datang.
Apabila pemilik Fifi melepaskan ikatannya, anjing bulldog itu akan meluru dengan tenaga sepenuhnya ke arah perenjis air yang terdekat, “menyerang” air itu sebaik sahaja mukanya basah terkena renjisan air. Pada pendapat saya, Fifi akan makan perenjis air itu sekiranya ia dapat berbuat demikian. Ini adalah satu gambaran yang penuh semangat tentang Fifi, kerana kerinduan kuat yang mahu dibasahkan oleh renjisan air seolah-olah tidak pernah cukup untuknya.
Dalam Alkitab, tiada kisah tentang anjing bulldog dan perenjis air. Bagaimanapun, doa Paulus dalam Efesus 3 mengingatkan saya tentang Fifi. Paulus berdoa agar orang percaya di Efesus akan dipenuhi dengan kasih Tuhan dan “bersama-sama umat Allah, dapat sungguh-sungguh memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus”. Dia berdoa agar kita “mengenal kasih Kristus, sehingga [kita] memperolehi sifat Allah” (ayat 18-19).
Pada hari ini, kita masih dijemput untuk mengenal Tuhan yang mempunyai kasih yang tiada batasan dan di luar pemahaman kita, agar kita dapat “dibasahi”, dipenuhi dan dipuaskan olek kebaikan-Nya. Kita boleh dengan sukacita dan penuh penyerahan, masuk ke dalam satu hubungan dengan Dia, yang satu-satunya dapat mengisi hati dan hidup kita dengan kasih, erti dan tujuan hidup.