Pensyair Irish, Oscar Wilde pernah berkata, “Semasa saya muda, saya menyangka wang adalah perkara yang terpenting dalam hidup; sekarang apabila saya sudah tua, saya tahu ia memang amat penting. Komennya adalah gurauan; kerana dia cuma hidup sehingga umur 46 tahun, jadi dia sebenarnya tidak mencapai usia “tua”. Wilde memahami sepenuhnya bahawa kehidupan kita bukan semata-mata wang.
Wang hanya sementara; ia datang dan pergi. Jadi kehidupan kita tidak seharusnya hanya berfokus pada wang dan segala yang boleh diperoleh dengannya. Yesus mencabar orang ramai dalam generasi-Nya—baik yang kaya dan yang miskin—menukar sistem nilai hidup mereka. Dalam Lukas 12:15, Yesus berkata, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah! Janganlah tamak! Hidup seseorang tidak terdiri daripada kekayaannya, walaupun hartanya banyak sekali.” Dalam budaya kita, kita diberitahu untuk berfokus secara berterusan pada sesuatu yang lebih banyak, baru dan lebih baik, maka kita perlu memiliki kepuasan hati dan perspektif yang betul tentang wang dan harta benda.
Setelah bertemu dengan Yesus, seorang pemimpin muda yang kaya telah pergi dengan dukacita kerana dia memiliki banyak harta benda yang tidak sanggup ditinggalkannya (Lukas 18:18-25); tetapi Zakheus, yakni seorang pemungut cukai sanggup mendermakan banyak harta yang telah dikumpulkannya dengan hasil titik peluh sepanjang hidupnya (Lukas 19:18). Perbezaannya ialah memiliki hati yang seperti Kristus. Dalam rahmat-Nya, kita boleh memperoleh perspektif yang sihat tentang harta benda milik kita—supaya harta benda tidak menjadi sesuatu yang menguasai kita.