Kawan sekelas saya telah memberi keluarga kami seekor anjing berbaka Collie yang sudah tua. Tidak lama kemudian, dengan sedihnya kami mendapati bahawa anjing yang cantik ini sudah lama hidup di dalam kandang yang kecil. Akibatnya anjing ini hanya tahu berjalan dalam pusingan yang kecil, malah tidak boleh bermain atau berlari dalam garisan lurus. Walaupun sekarang anjing ini berada di dalam kandang yang luas dan boleh bermain dengan bebas, anjing tersebut masih menganggap kandang itu sempit.

Kebanyakan umat Kristian yang awal terdiri daripada orang Yahudi. Mereka sudah biasa terkongkong oleh Taurat Musa. Walaupun hukum Taurat adalah baik, dan telah diberikan oleh Tuhan untuk menginsafkan mereka tentang dosa serta membimbing mereka kepada Yesus (Galatia 3:19-25), masanya telah tiba untuk berjalan dalam iman yang baru, yang berlandaskan rahmat Tuhan dan kebebasan dalam Kristus. Tetapi mereka meraguinya. Setelah sekian lama hidup dalam keadaan terkongkong, adakah mereka benar-benar sudah bebas?

Kita mungkin menghadapi masalah yang sama. Mungkin kita membesar di gereja yang mengongkong melalui peraturan-peraturan yang tegar. Atau kita membesar dalam keluarga dengan didikan yang terlalu bebas maka sekarang kita merindukan peraturan yang boleh memberikan kita perlindungan. Apa pun keadaan, telah tiba masanya kita menerima kebebasan kita dalam Kristus (Galatia 5:1). Yesus telah membebaskan kita untuk melakukan perintah-perintah-Nya dalam kasih (Yohanes 14:21), serta “saling mengasihi dan saling menolong” (Galatia 5:13). Betapa besarnya sukacita dan kasih tersedia untuk mereka yang menyedari bahawa “jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas” (Yohanes 8:36).