Bertahun-tahun yang lalu, ketika saya belajar bermain ski, saya mengikuti anak saya Josh ke lereng yang kelihatannya tidak begitu curam. Oleh sebab mata saya hanya tertumpu kepadanya, maka saya terlepas memerhatikan pergerakannya yang membelok dari bukit yang paling curam di atas gunung itu. Keadaan terus menjadi tidak terkawal, dan saya mendapati diri saya menyendeng ke bawah cerun. Akhirnya saya terjatuh.
Mazmur 141 menunjukkan kepada kita bagaimana dengan mudah sekali kita boleh tergelincir di cerun dosa. Berdoa ialah satu cara untuk kita sentiasa berwaspada akan cerun-cerun dosa itu: “Jauhkan aku daripada keinginan berbuat jahat” (ayat 4), adalah satu permohonan yang kedengaran hampir sama dengan doa yang diajarkan Yesus dalam Matius 6:13: “Janganlah biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai, tetapi selamatkanlah kami daripada kuasa Si Jahat.” Kerana kebaikan hati Tuhan, Dia mendengar dan mengabulkan doa ini.
Kemudian saya juga mendapati rahmat Tuhan dalam mazmur ini: seorang sahabat yang setia. “Aku rela menerima hukuman dan teguran daripada orang baik, tetapi aku tidak akan menerima pujian daripada orang jahat” (Mazmur 141:5). Godaan adalah berbentuk halus. Kita jarang menyedari bahawa kita sedang berbuat salah. Tetapi seorang sahabat yang sejati boleh menunjukkan kesalahan kita secara objektif. “Seorang kawan memukul dengan maksud baik” (Amsal 27:6). Sukar sekali untuk menerima teguran, tetapi jika kita melihat teguran yang menyakitkan hati itu sebagai sesuatu yang membawa “kebaikan”, maka hal ini boleh bertukar kepada satu pengurapan yang membawa kita kembali ke jalan ketaatan.
Semoga kita terbuka kepada kebenaran daripada seorang kawan yang boleh dipercayai dan bergantung kepada Tuhan melalui doa.