Saya terjumpa sebahagian gulungan filem daripada sebuah pasukan filem berita British. Filem itu telah menangkapkan gambaran Flannery O’Connor yang berumur 6 tahun di ladang keluarganya pada tahun 1932. Flannery, yang kemudian menjadi penulis Amerika Syarikat yang terkenal, telah membuatkan pasukan filem tersebut tertanya-tanya kerana dia mengajar seekor ayam berjalan mundur. Selain aksi yang luar biasa itu, saya berpendapat bahawa sejarah yang ringkas ini merupakan metafora yang sempurna. Disebabkan pengetahuan kesusasteraan dan kepercayaannya, Flannery jelas sekali telah menghabiskan masa selama 39 tahun berjalan “ke belakang”, ini kerana dia berfikir dan menulis dengan cara yang bertentangan dengan arus budaya pada zamannya. Para penerbit dan pembaca amat bingung akan tema-tema dalam karya penulisannya yang berdasarkan Alkitab yang sering bertentangan dengan pandangan agama yang diharapkan mereka.

Kehidupan yang bertentangan dengan norma tidak dapat dielakkan bagi mereka yang sungguh-sungguh hendak mencontohi Yesus. Filipi memberitahu kita bahawa Yesus, walaupun “Dia ilahi”, Dia melakukan perkara yang tidak terduga (2:6). Dia tidak menggunakan kuasa-Nya untuk mempertahankan “keadaan-Nya yang ilahi,” tetapi “rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba” (ayat 6-7). Kristus, Tuhan segala ciptaan, menyerahkan Diri-Nya sehingga mati demi kasih. Dia tidak bermati-matian inginkan kemegahan tetapi merendahkan diri. Dia tidak merebut kuasa tetapi melepaskan kawalan kuasa. Yesus, pada dasarnya, berjalan mundur—bertentangan dengan kuasa yang ditunjukkan oleh dunia ini.

Firman Tuhan memberitahu kita supaya mempunyai sikap yang sama dengan Yesus (ayat 5). Seperti Yesus, kita melayani dan bukannya menguasai. Kita mengarah kepada kerendahan hati dan bukannya menyombongkan diri. Kita memberi dan bukannya mengambil. Dalam kuasa Yesus, kita berjalan mundur.