Shirley merebahkan dirinya ke kerusi malas selepas bekerja seharian. Dia melihat ke luar tingkap dan mendapati sepasang suami isteri yang lebih tua sedang berusaha memindahkan satu bahagian pagar lama yang tertinggal di halaman, dan dilabelkan “percuma.” Dengan segera Shirly menarik tangan suaminya, dan mereka keluar untuk membantu. Keempat-empat mereka berusaha sekuat tenaga untuk mengangkat pagar itu dan meletakkannya ke atas troli serta menolaknya sepanjang jalan yang sibuk sehingga tiba di rumah pasangan itu—dengan tertawa kerana mereka pasti telah menjadi tontonan orang di sekitar mereka. Apabila mereka kembali untuk mengambil bahagian pagar yang kedua, wanita itu bertanya kepada Shirley, “Sudikah kamu jadi kawan saya?” “Ya, saya sudi” jawabnya. Kemudian Shirley mendapat tahu bahawa kawan barunya yang berbangsa Vietnam itu hanya dapat bertutur sedikit bahasa Inggeris dan berasa keseorangan kerana anak-anaknya yang sudah besar telah berpindah ke tempat jauh.

Dalam Imamat, Tuhan mengingatkan orang Israel bahawa mereka pun tahu perasaan hidup sebagai bangsa asing (19:34) dan bagaimana memperlakukan orang lain (ayat 9-18). Tuhan telah menjadikan mereka umat-Nya sendiri, dan sebagai balasannya mereka hendaklah memberkati “sesama manusia” dengan mengasihi mereka sebagaimana mereka mengasihi diri mereka sendiri. Yesus, berkat yang terbesar daripada Tuhan kepada bangsa-bangsa, kemudian menyatakan semula kata-kata Bapa-Nya dan menyampaikannya kepada kita. “Kasihilah Tuhan Allahmu … Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri” (Matius 22:37-39)

Melalui Roh Kristus yang tinggal dalam kita, kita dapat mengasihi Tuhan dan saling mengasihi kerana Dia mengasihi kita terlebih dahulu. (Galatia 5:22-23; 1 Yohanes 4:19). Adakah kita boleh berkata “Ya, saya sudi” seperti Shirley?