Nama Antonio Stradivari (1644–1737) ialah legenda di dunia muzik. Semua alat muzik seperti violin, selo, dan biolanya amat berharga kerana mutu buatan dan kejelasan bunyinya sehingga banyak alat muzik telah diberikan namanya sendiri. Contohnya salah satu violin dikenali sebagai Messiah-Salabue Stradivarius. Selepas pemain violin Joseph Joachim (1831–1907) memainkannya, dia menulis, “Bunyi Stradivarius, bunyi ‘Messie’ yang unik terus-menerus muncul dalam ingatan saya, dengan gabungan keindahan dan keagungannya.”
Bagaimanapun, nama dan bunyi Stradivarius, tidak layak untuk dibandingkan dengan karya Sumber yang jauh lebih hebat. Dari zaman Musa sehingga ke zaman Yesus, Tuhan yang di atas segala tuhan memperkenalkan Diri-Nya dengan nama yang di atas segala nama. Demi kita, Dia menginginkan hikmat dan kerja tangan-Nya sendiri dikenali, dihargai, dan diraikan dengan bunyi muzik (Keluaran 6:1; 15:1–2).
Apabila Tuhan menyelamatkan orang Israel dari Mesir sebagai respons terhadap keluhan mereka yang menderita, itu cuma satu permulaan. Adakah sesiapa yang boleh meramalkan bahawa, dengan tangan lemah yang disalibkan, suatu hari nanti Dia akan meninggalkan warisan abadi dan nilai yang tidak terhitung? Adakah sesiapa dapat meramalkan hasil daripada keindahan dan keagungan muzik yang dinyanyikan dalam pujian bagi nama-Nya Yesus yang telah mati demi menanggung penghinaan dosa kita dan penolakan—untuk menunjukkan bahawa Dia amat mengasihi kita?